This post is also available in:
English
Bengali

Filem The Black Kite oleh Taosin Zafar menggambarkan kisah Arif, seorang pekerja bebas yang bertongkat, berdepan dengan realiti perit apabila sekatan internet yang dikenakan kerajaan memusnahkan sumber pendapatannya. Filem ini merakam detik penting dalam sejarah Bangladesh, di mana pemadaman internet telah menjadi satu alat kawalan politik, sekali gus mendedahkan kerentanan tenaga kerja digital dalam ruang autoritarian yang semakin meningkat.
Kebangkitan Gerakan Mahasiswa
Sejak 5 Jun 2024, Bangladesh telah menyaksikan kebangkitan gerakan mahasiswa yang menuntut reformasi sistem kuota dalam pekerjaan kerajaan. Apa yang bermula sebagai tuntutan untuk persaingan yang lebih adil akhirnya bercambah menjadi satu desakan perubahan politik yang lebih besar. Sifat akar umbi gerakan ini membezakannya daripada protes tradisional, dengan kepimpinan organik yang muncul melalui penyelarasan media sosial.
Program-program seperti Bangla Blockade dan March for Justice mencerminkan keunikan tersendiri gerakan ini. Para mahasiswa telah menjadikan media sosial sebagai alat mobilisasi utama mereka, serta mengurangkan kebergantungan pada saluran berita arus perdana dan mencipta bentuk-bentuk rintangan digital yang baharu.
Buruh Digital dalam Kepungan/Terperangkap
Tindak balas kerajaan terhadap gerakan mahasiswa berlaku dengan pantas dan ganas. Selepas tindakan keganasan oleh polis dan kumpulan yang disokong kerajaan pada awal Julai, pihak berkuasa melaksanakan penutupan internet selama 15 hari di seluruh negara. Pemadaman ini mendedahkan kerentanan tenaga kerja digital yang semakin berkembang di Bangladesh.
Impak penutupan internet terhadap sektor pekerja bebas amatlah dahsyat. Pekerja bebas seperti Arif mewakili sebahagian besar ekonomi digital Bangladesh, ramai yang memilih jalan ini kerana peluang pekerjaan tradisional yang terhad atau halangan fizikal untuk bekerja secara konvensional. Kebergantungan mereka kepada sambungan internet yang stabil menjadikan mereka sangat terdedah kepada gangguan politik. Sektor pekerja bebas beroperasi dalam keadaan tidak menentu secara berterusan. Para pekerja menghadapi cabaran berterusan: tiada jaminan atau faedah pekerjaan, pendapatan yang turun naik bergantung kepada permintaan pasaran global, serta ketiadaan kuasa tawar-menawar secara kolektif. Pekerjaaan gig sering kali mengelak dari memberi perlindungan buruh tradisional, menyebabkan pekerja terdedah semasa gangguan perkhidmatan tanpa sebarang jaminan keselamatan.
Alat pengawalan
Gabungan KeepItOn menyatakan bahawa penutupan internet sebagai campur tangan kerajaan yang disengajakan terhadap kebebasan komunikasi melalui pemadaman rangkaian, larangan aplikasi, atau pendikitan internet. Walaupun kerajaan sering melakukan cubaan bagi mewajarkan alasan keselamatan untuk perkara ini, kajian menunjukkan bahawa tiada bukti kukuh bahawa penutupan internet berjaya mencapai matlamat yang dikehendaki.
Sejarah penutupan internet di Bangladesh telah berlarutan selama bertahun-tahun. Dari ketegangan komuniti di Comilla pada tahun 2021 hingga protes mahasiswa bagi keselamatan jalan raya pada 2018, dan respons kerajaan adalah dengan memadamkan akses internet adalah konsisten. Internews Optima telah mendokumentasikan 17 insiden antara 2012 hingga pertengahan 2022, dengan kekerapan kejadian yang semakin meningkat dan bukannya menurun. Situasi ini masih kekal kritikal—pada tahun 2022, Bangladesh berada dalam kedudukan lima negara teratas bagi penutupan internet terbanyak di seluruh dunia, dengan enam insiden yang berlaku serentak bersama perhimpunan pembangkang.
Harga yang Perlu Dibayar
Kesan ekonomi akibat penutupan internet jauh melampaui angka statistik. Laporan Global Cost of Internet Shutdowns menganggarkan kerugian global sebanyak $7.69 bilion pada tahun 2024, dengan Bangladesh mengalami kerugian sebanyak $74 juta sehari semasa berlakunya gangguan, menurut NetBlocks Cost of Shutdown Tool. Pemadaman internet baru-baru ini memberi tamparan hebat kepada sektor pekerjaan bebas, dengan kerugian melebihi sejuta taka sepanjang gangguan internet dari Julai hingga Ogos 2024 sahaja. Kos tenaga kerja juga terjejas teruk. Kelewatan memenuhi tarikh akhir dan sambungan internet yang tidak stabil telah merosakkan hubungan dengan pelanggan, menyebabkan wujudnya kesan jangka panjang walaupun perkhidmatan kembali pulih. Selain sektor pekerjaan bebas, gangguan ini turut memberi kesan keapda sektor pendidikan, penjagaan kesihatan, dan urusan perniagaan harian, membawa kepada kesan domino terhadap ketidakstabilan ekonomi dalam komuniti.

Penentangan dan Pembaharuanm
Sekalipun rangka kerja antarabangsa mengesyorkan bahawa penutupan internet hanya boleh digunakan dalam “situasi luar biasa,” penutupan internet di Bangladesh sering berlaku secara sewenang-wenangnya, tanpa ketelusan atau akauntabiliti. Pengendali mudah alih yang terlibat dalam penutupan ini, jarang sekali memaklumkan pengguna mereka sebelum atau selepas penutupan, menyebabkan rakyat berada dalam ketidakpastian. Meskipun Bangladesh telah memasuki fasa politik baharu, perlindungan hak digital memerlukan lebih daripada sekadar harapan pasif. Pekerja digital mesti membangunkan rangkaian sokongan kolektif dan mewujudkan sistem komunikasi alternatif. Komuniti pula perlu merancang pelan tindakan kecemasan bagi menghadapi situasi sama di masa depan. Paling penting, rakyat mestilah mendesak perlindungan perundangan terhadap hak digital dan menuntut mekanisme akauntabiliti bagi gangguan perkhidmatan. Perjuangan yang digambarkan dalam The Black Kite bukan hanya sekadar akses kepada internet —ia berkait rapat dengan kuasa, kawalan, dan hak asasi untuk mengambil bahagian dalam masyarakat moden. Di saat Bangladesh melalui fasa peralihan ini, tanggungjawab terletak pada rakyat untuk terus berwaspada dan aktif dalam mempertahankan pembebasan penting ini. Masa depan hak digital akan ditentukan bukan oleh janji politik, tetapi oleh keazaman kolektif rakyat dalam menuntut dan mempertahankan hak asasi mereka dalam era digital.